SME Corp dan UMS anjur seminar ESG perkasakan PMKS di Sabah
- Administrator ESGMalaysia
- 6 days ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Hampir 150 usahawan menyertai Seminar Kesedaran ESG (Environmental, Social and Governance) untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) anjuran SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Hotel Pacific Sutera, di sini hari ini.
Seminar bertemakan “Sabah Lestari: Memperkasa PMKS dengan ESG” itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan PMKS mengenai kepentingan pengamalan prinsip ESG dalam perniagaan, khususnya bagi menjamin kelestarian operasi dan daya saing dalam pasaran.
Ketika berucap, Ewon menegaskan bahawa penerapan prinsip ESG kini menjadi keperluan dalam proses membuat keputusan syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).
“PMKS perlu beradaptasi dengan amalan ESG bagi mengekalkan akses kepada rantaian bekalan sedia ada serta memperluas peluang ke pasaran baharu,” katanya.
Sementara itu Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, berkata, kerjasama dengan UMS turut merangkumi pembangunan inisiatif kredit karbon untuk manfaat usahawan mikro melalui teknologi hijau dan sistem pelaporan ESG.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor pula menekankan peranan penting institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh usaha perubahan iklim dan pemuliharaan biodiversiti, selaras dengan pembangunan ekonomi yang mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Dato’ Nainy menjelaskan bahawa ESG adalah komponen penting dalam agenda pengantarabangsaan PMKS bagi mempertingkatkan kecekapan dan skala operasi serta meluaskan capaian ke pasaran global.
Seminar berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan UMS, yang menyokong kerangka kerjasama Triple Helix melibatkan kerajaan, sektor swasta dan institusi pengajian tinggi.

Selain sesi forum dan perkongsian pakar, peserta turut berpeluang melawat pameran yang mengetengahkan produk serta perkhidmatan inovatif daripada PMKS tempatan. - Nabalu News
Komentáře